Bukan cerita seorang noob.


Selain soalan-soalan skema untuk budak oversea seperti,

-
Eh bila balik sini?
Bila balik sana pula?
Berapa tahun lagi sana?
Balik nak sambung apa?
Eh kos apa?
Eh ada eh orang melayu belajar Jordan?
Aaaaaa Jordan tu apa dia?
-

ada satu soalan lain yang aku suka.

"Bila dekat sana paling teringin nak makan apa?"

Nasi goreng kampung.

Banyaklah lagi lain termasuklah siput sedut masak lemak pucuk paku peh. Noob betul siapa tak makan binatang tu. Lagi noob siapa yang makan tapi tak reti sedut siput tu hekleh. Nikmat sedutan dia boleh khayal dua saat. Sebab kau sedut terus masuk ke tekak. Noob. Ada lagi satu perangai noob pemakan siput sedut. Sedut dari depan tak boleh, dia pergi tiup dari belakang. (pergi google mana satu depan mana satu belakang) Aku tahu sebab aku dahulu pun seorang noob.

Siapa sakit hati baca atas tadi dia noob.

Kah.


Kalau siapa tak tahu, cara penyediaan gulai siput sedut ni takdelah susah mana pun. Masak gulai tu macam biasalah. Jadi nanti kau pergi beli siput dekat pasar. Dia kotor berselut berlumpur berpasir apa semua tu. Kotor tu nanti bersihkanlah. Bersihkan sebersih bersihnya. Kemudian sementara diorang (siput) duk berlumba lumba nak panjat keluar dari bekas cepat cepat ambil sekor-sekor, pap! Potong bahagian belakang dia. Jangan jadi noob kat sini. Teknik kena betul kalau tak sia-sia je hancur siput tu. Kita nak buang belakang dia sikit je. Kalau kau nak buang semua, baik kau pergi makan kat kedai sana. Ceh.

Kenapa nak kena buang macam tu? Untuk memberikan pengalaman sedutan siput yang terindah dalam hidup kau. Slurpp! Sekali sedut dah keluar sedia untuk dimakan isinya. Dia jadi senang sebab dia dah tak bersambung dengan shell dia (shell bahasa melayu apa?)

So that's it. Siput sedut for noobies.



***


Kau tak dapat semua benda yang kau nak dalam hidup ni. Tak boleh.

Untuk adanya sesuatu kadang-kadang akan ada yang perlu hilang. Untuk mendapatkan sesuatu kadang-kadang akan ada yang perlu diketepikan. Untuk terus ke hadapan kadang-kadang akan ada yang perlu ditinggalkan di belakang.

Aku pun taktahu ini motivasi ke apa yang aku dapat daripada seketul siput ni. Ibrah mungkin. Kenyang perut kenyang rohani. Acewah. (Done dakwah)

Menyeru semangat. Sekali lagi akan meninggalkan banyak benda yang kau sayang dekat sini, untuk menyambung musafir kau di tempat yang jauh sana. Fuh.

Doakan.

Kbai nak sambung kemas barang tiga jam lagi nak gerak airport bai.


Yang akan merindui gulai siput sedut,
Bukan lagi budak noob.



Yang akan hilang, yang akan datang.


Keluar berjalan cuci-cuci mata dengan kawan.

Nampak beg, kau nak beli. Kawan tanya kenapa nak yang itu?

"Aku suka warna dia. Merah dia wow. Garang."

Nampak kasut, kau nak beli. Kawan tanya kenapa nak yang itu?

"Aku suka material dia. Sedap pakai. Selesa."

Nampak henset, kau nak beli. Kawan tanya kenapa yang itu?

"Aku suka kamera dia. Gambar lawa. Kalah dslr."

Nasib baik duit cukup untuk beli coolblog je. Order satu blue coral untuk kau, satu oreo blog untuk kawan. Duduk berehat sekejap dekat bangku.

"Aku rasa aku patut belilah beg tadi. Beg yang haritu aku beli warna purple dia dah luntur. Tak lawa dah. Ada putih-putih pula tu. Nak tukarlah."

Nasib baik tak ada duit. Blue coral tinggal separuh.

"Aku rasa nak trade in lah Sony Z1 aku ni. Kau tahu tak dia punya kamera dah tak betul. Maksud aku, gambar semua tak lawa. Kecewa aku dulu beli sebab kamera power kot. Rasa-rasa berapa boleh dapat untuk Iphone 7 tu eh?"

Nasib baik tak ada duit. Blue coral sikit lagi nak licin.

"Dahlah jom balik."

Buang cawan coolblog ke dalam tong sampah. Habis. Hilang dahaga sepanjang berjalan tadi.


-------

Hidup kita ni satu pilihan. Hidup kita memerlukan kita untuk membuat pilihan. Sama ada itu atau ini. Sama ada satu atau dua. Sama ada dia atau dia. Pilihlah. Kau berhak buat pilihan sendiri.

Ironinya di sebalik pemiilihan itu sendiri, kau kena pilih antara dua benda.

Kau pilih untuk mengikut sesuatu sebab atau kau pilih untuk mencari suatu hikmah.

Sebab atau hikmah?

Sebab yang akan hilang dan hikmah yang akan datang.

Kau mahukan benda tu sebab rupa dia yang lawa pada awalnya, dan kau tinggalkan benda tu sebab dah hilang tarikan padanya di kemudian hari. Sebab sudah tak ada sebab untuk kau terus simpan benda tu dengan kau. Sebab itu, pilihlah elok-elok.

Atau kau pilih untuk mencari hikmah di sebalik semua benda yang berlaku.

Kau nak beli kasut baru. Kau perlukan kasut baru. Tapi kau punya duit yang sedikit cuma. Kau pun belilah sepasang kasut ni tapi kau tak berkenan sangat pun. Kau beli sebab itu saja yang cukup dengan duit kau. Dengan rasa tak berapa seronoknya, kau pakai benda tu sampailah betul-betul dah ajal dia.

Dan saat itu, kau akan dapat hikmah dia kenapa kau beli juga haritu walaupun kau tak berkenan. Itupun kalaulah kau cari hikmah itu. Yelah. Selama kau pakai kasut tu, kau dapat kumpul duit secukupnya untuk beli kasut yang betul betul kau nak. Selama kau pakai kasut tu juga, mungkinlah banyak benda yang berlaku. Benda yang baik-baik. Kau mungkin pernah jadi hero kejar peragut masa kasut tu masih tersarung di kaki kau. Manalah aku tahu. Kaulah fikir sendiri.

Aku tahu benda ni tak berapa nak logik. Yelah kasut tu dah lunyai kau nak fikir apa lagi. Buang. Tukar baru jelah. Kan.

Pilihlah kau nak buat apa.

Yang lelaki nak kahwin pun kena pilih perempuan berdasarkan empat benda. Pilihlah kau nak utamakan mana satu. Pilihlah. Kalau aku pilihkan, aku jelah yang kahwin. K.


-----

Aku tahu aku suka kaitkan benda yang memang langsung takde kaitan. Tapi aku nak cuba kaitkan juga. 

Apa yang aku nampak, bilamana kau sedar dan bilamana kau tahu, apa yang kau mahu dan apa yang kau perlu, kau akan mula nampak hikmah tu datang sikit-sikit.

Baca balik mesej tersirat aku cuba sampaikan dekat coolblog tu.


P.s. Tak, aku tak maksudkan nak belanja coolblog pun -..-










Masin manis kehidupan.


Hallak!

Aku bukanlah orang yang selayaknya mahu berbicara soal masakan, soal tatacara juga kaedahnya yang sepatutnya. Kalau bab sedap tak sedap mungkinlah aku antara ahlinya.

Tapi tergerak hati ni nak mencoret sedikit di sini selepas tadi aku ada masuk ke dapur sekejap untuk bermain dengan gula dan garam (baca: memasak). Tak masak apa pun (betul ni serius) cuma tambah air dekat lebihan kari ayam semalam.  Ha semalam kari tu aku yang masak (pembaca perlu tahu). Selain tambah air, aku juga tambah gula dan garam dan...siap untuk dimakan!

Pernah haritu banyak kali juga duk fikir benda ni. Apa beza 'satu gelas air dengan dua sudu gula' dan 'setengah gelas air dengan satu sudu gula'? Apa juga bezanya kalau 'setengah gelas air dengan dua sudu gula'?

Katakanlah yang gelas pertama tu, rasanya just nice apabila air dan gula seimbang jadi tidak begitu manis. Begitu jugalah kan dengan gelas yang kedua sebab rationya juga seimbang, jadi tidak begitu manis. Tidak bagi gelas ketiga, dua sudu gula agak terlebih bagi setengah gelas air yang akan jadikannya terasa paling antara ketiga-tiganya.

Tak ada kaitan dengan sains mahupun matematik. Ha kau fikir sendiri. Pengambilan gula, kurangkan gula dalam pemakanan apa semua tu bla, bla, bla, bagi aku bukan kayu ukurnya pada rasa kemanisan pada satu-satu benda tu. Memang semata-mata pada kadar pengambilan tu sendiri. Tak kisahlah air berapa banyak berapa liter pun, kalau memang gula tu sendiri memang banyak, be it too sweet, or tasted bland, it's still so wrong. Dalam hal ni, air tu sendiri jadi alasan untuk membenarkan pengambilan gula yang berlebihan tu.

Sebab tadi aku ter-campak gula banyak sangat, jadi aku cuba seimbangkan balik dengan campak sebanyak-banyak garam dalam tu (jangan gelak aku tahu macam pelik tapi diam lol). Hasilnya memang rasa cukup-cukup sedap je tapi Allah jelah yang tahu betapa banyaknya aku masukkan tadi haha.

Masih tak mengubah hakikat sebenarnya.

Sebab lepas tu aku terfikir satu benda lagi, tak pasti berkait ke tak tapi nak tulis juga. Dia semacam kau dah buat benda-benda dosa ni banyak sangat, sampai satu tahap kau rasa nak seimbangkan balik diri kau, lalu kau pun buat amal kebaikan untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya. Sebab apa? Sebab tak nak rasa diri kau banyak sangat dosa. Win win situation lah kiranya. Tapi....itulah kan.

Nanti mesti ada orang kata, nak hilangkan dosa taubatlah. Entah aku terfikir benda tu macam lepas dah ambil gula garam banyak sangat tu, pergilah exercise, makan sayur ke, diet ke bla bla bla kbai.





LDR : Light-Dependent Resistor


Siapa kau siapa aku?
Siapa kau pada aku?

Di malam malam aku
Kaulah bintang
Dalam selubung gelap itu
Jauh di atas sana
kau datang
Beri sekelumit cahaya
Membawa tenang kala musafir aku
tengah pasir yang kontang.

Kau bintang
Namun aku bukanlah si alim falak
Jauh sekali pakar tilik
Cuma si musafir sesat di kejauhan
Seringkali melangut ke atas mencari arah
Tetap juga tersasar

Kau bintang
Senyum aku melihat kau sayang

Sayang
Hanya di mata
Dan kau jauh di sana
Jauh sekali mahu diraih
Apatah lagi mahu dibawa
bersama

Kau bintang
Tetaplah bersinar
Memberi seribu satu makna
di malam-malam ummat manusia

Nanti saja kaki ini berhenti menapak
Tamatlah sudah kembara sang musafir

Dan mungkin kau bukan lagi bintang yang dahulu
Kerna tiada lagi istilah malam buat aku


Tanah dahulu yang kontang
Jauh aku tinggalkan
Untuk sampai ke sini
Tanah yang diberkati
Subur dengan ciptaan Ilahi Rabbi

Aku nampak bunga-bungaan
Tidak lagi melihat bintang bergemelapan
Terbit rasa suka
Penuh kecintaan
Ingin saja aku petik
sekuntum yang mekar tumbuh
Langsung sang mentari menyapa
memancar sinarnya ke tubuh

Mana mungkin itu kau
Mana mungkin kau yang kembali menyapa
Itu sang mentari 
bukan gumpalan bintang yang bercahaya

Atau benar itu kau?
Wahai bintang...yang mendekat

Berpaling aku mencari kau
Terus kembali mengalih pandangan
ke tepi
Ingin sekali aku melihat kau
Terus aku terkebil sendiri

Kau bintang
Kini mentari
Suatu ketika kau jauh, sayang
Kini kau mampir ke mari

Ada masa kau kelihatan
Tidaklah kau tercapai
Tidak juga aku merasa hakikat kau
yang sebenarnya

Tiba saat aku mula merasakan
hangatnya kewujudan kau
Tidak pula aku betah menahan
seksa menatap zahirnya kau

Mungkin dulu aku seorang musafir jalanan
yang mencari kunci kepada suatu persoalan
Sehingga satu ketika aku berhenti
untuk menemukan sepatah jawapan

Siapa kau pada aku
Bukan pada jarak
untuk aku temukan jawapan
Tetapi pada masa
dan usaha yang menentukan

Jadilah kau bintang
mahupun matahari
Pergilah kau menjauh
ataupun datang dekat ke sini

Tunggu saja nanti
Apabila mata di balik kaca mata hitam
Tidak lagi cuba menahan silau
Wahai mentari

***


Lama baru aku tersedar, ada yang lagi indah daripada itu. Eh bukan juga. Ada yang boleh aku dapatkan tanpa perlu bersusah payah. Sekalipun aku lihat kau di balik kaca hitam itu, tetap juga kau bukan milik aku.

Rupa-rupanya betullah. Aku cuma perlukan masa. Kita perlukan masa, dan usaha.

Kau hai mentari, tinggi harapan aku agar kau tidak hanya memancar sinar suria di siang-siang hari. Alangkah indahnya jika kau dapat bersatu dengan alam seluruhnya. Kau mentari, ada juga udara, air, angin juga tanah di sana. Diri kau yang sekarang, aku dapat lihat keindahan yang akan terpancar seiring masa berjalan.

Lalu aku, akan persiapkan diri untuk menerimanya.

Sampai masanya nanti, biar tangan ini bersedia untuk memetik kuntuman bunga daripada kau itu. Indah bukan? Aku dapat memilikinya selama mana dipinjamkan sang Pencipta.


***


Tapi usah kau lupa. Hakikat di luar sana ramai juga ummat manusia yang tercari-cari kuntuman bunga untuk dipetik. Berbahagialah kau di saat ada tangan lain yang mampir memetik dengan penuh sayangnya.

Kerna aku sedar, takut-takut aku terpaut pada bebunga lain yang tumbuh merata di luar sana.


Kerna jarak ini bukan apa-apa. Biar masa dan usaha yang menentukan.



15.52
13/0/616
Mafraq, Jordan